Permainan Video Berunsur Seks di Kafe Siber

Sekitar pertengahan Ogos 2008, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Perumahan, Datuk Hamzah Zainuddin menyatakan bahawa kementerian berkenaan telah pun menyediakan draf peraturan baru kafe siber dan sedia untuk dikuatkuasakan.

Sebelum ini, kementerian berkenaan telah mengeluarkan satu ‘Garis Panduan Pengawalan Perniagaan Pusat Siber dan Cyber Cafe’ yang jelas bahawa aktiviti utama atau pun core business di kafe siber hanya dihadkan kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet sahaja.

Lain-lain syarat yang dinyatakan dalam garis panduan tersebut adalah melarang pelajar yang berpakaian seragam untuk memasuki kafe siber, masa operasi yang hanya dihadkan sehingga 12.00 tengah malam serta keadaan premis perlulah terbuka dengan sistem pencahayaan yang terang dan penggunaan cermin gelap adalah dilarang.

Malangnya, tiada penguatkuasaan dilakukan ke atas garis panduan ini dan kafe siber disalah gunakan secara meluas. Keadaan ini kini sudah mencapai tahap kritikal dan sebelum menjadi lebih parah CAP menggesa pihak berkuasa menjalankan operasi pembanterasan kafe siber yang disalah guna dan menyalahi undang-undang secara besar-besaran di seluruh negara.

Awal tahun lalu, CAP telah menjalankan satu tinjauan terhadap kafe siber-kafe siber dan hasil yang mengejutkan ini telah di bawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian pelajaran.

Antaranya, pengakuan pelajar-pelajar sekolah berusia antara 13-15 ini bahawa tujuan utama mereka mengunjungi kafe siber adalah ketagih untuk bermain permainan video berunsur seks seperti Nasty Anime Game, Hentai dan The Sexy Empire yang kesemuanya memperlihat wanita tanpa berpakaian.

Tinjauan CAP turut mendapati tiada satu pun kafe siber yang dikunjungi ini dijadikan sebagai tempat untuk mendapat dan mengumpul maklumat seperti yang terkandung dalam Garis Panduan keluaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pengusaha kafe siber ini pada amnya tidak disyaratkan untuk memasang perisian tapisan seperti Cyberpatrol, Cybersitter, Surfwatch dan Net-Nanny bagi mengelak kanak-kanak daripada mengakses halaman porno.

Pencabulan Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) terus dilakukan apabila terdapat penjualan minuman keras dan rokok dibuat secara terbuka di kafe siber. Pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah bukan sahaja merokok malah ada yang meminum minuman keras.

Perbualan dengan beberapa pelajar sekolah ini juga mengejutkan pihak kami apabila mereka mengaku ponteng sekolah dan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu mereka akan mengunjungi kafe siber tersebut. Dianggarkan mereka menghabiskan antara RM3-RM7 untuk sekali mengunjungi kafe siber (antara RM9-RM21 seminggu).

Pelajar-pelajar sekolah ini turut mengakui bahawa mereka meminta duit daripada ibu bapa mereka dengan berbohong kononnya memerlukan duit untuk aktiviti kokurikulum di sekolah dan ada juga yang sanggup mencuri semata-mata melepaskan gian bermain permainan video.

Misalnya, salah satu kafe siber yang dikunjungi terdapat 40 buah komputer dan kesemuanya sedang digunakan. Daripada 40 pelanggan dalam kafe siber tersebut hanya seorang dewasa manakala yang lain ialah pelajar sekolah lengkap berpakaian seragam sekolah.

Tinjauan juga mendapati kafe siber ini bercermin gelap dan tidak mematuhi langkah keselamatan seperti penyediaan alatan pencegahan kebakaran api serta pintu keluar kecemasan sekiranya berlaku kebakaran.

Sehubungan dengan itu, pemilik kafe siber yang di dapati melanggar undang-undang dan garis panduan perlu ditarik balik lesen perniagaan mereka dan perlu ditutup dengan segera.

CAP menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengkaji semula kewujudan kafe siber di taman perumahan dan kawasan kampung serta mengambil tindakan sewajarnya jika ia didapati mencetuskan pelbagai masalah sosial lain.

S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Sogokan Seks Untuk Projek Perumahan
  2. Seks Luar Tabii and Hukumannya

About admin