SHAH ALAM 5 Jan 2010 – Seorang penganggur dihukum penjara 28 tahun dan sebatan lapan kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah melarikan, merogol dan merompak seorang jururawat, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Abang Iskandar Abang Hashim menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan sebatan lima kali terhadap S. Civajanam, 29, bagi kesalahan rogol, empat tahun bagi kesalahan melarikan secara salah dan lapan tahun serta sebatan tiga kali bagi kesalahan merompak.
Beliau memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan secara berasingan berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 18 Julai 2003.
Sementara rakan tertuduh yang berusia 20 tahun hanya dihukum penjara sehingga usianya mencapai 21 tahun bagi tiga pertuduhan yang sama.
Dalam penghakiman yang dibaca selama sejam, Abang Iskandar berkata, walaupun Civajanam terpaksa kehilangan masa muda dan terbaik dalam hidupnya, hukuman penjara untuk tempoh yang lama amat perlu sebagai pengajaran.
Katanya, kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh jelas serius apabila mereka bertindak memaksa mangsa masuk ke dalam kereta dan membawanya ke tempat sunyi sebelum merogol dan merompak dengan bersenjatakan sebilah parang.
Beliau juga berpendapat hukuman penjara lebih sesuai bagi pesalah juvana itu sehingga usianya mencapai 21 tahun berbanding Sekolah Henry Gurney kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Kedua-dua tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 19 tahun (semasa kejadian) di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Saga dengan No. Pendaftaran MT740 berhampiran tempat letak kereta, jalan Alfa 9/5, Kampung Baru Subang 2, di sini antara 11.30 malam, 17 Julai dan 2.30 pagi, 18 Julai 2003.
Mereka juga dituduh merompak seutas rantai leher emas dan seutas jam tangan Swatch milik mangsa yang sama di tepi jalan di Batu 16, Sg. Palong, di sini pada 10 malam, 17 Julai 2003.
Kedua-duanya juga menghadapi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melarikan mangsa dengan niat untuk mengurungnya secara salah dan rahsia pada masa dan tempat yang sama.
Selain tuduhan merogol dan merompak, sebelum itu, tertuduh-tuduh dibicarakan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Mereka bagaimanapun bertindak menukar pengakuan bagi ketiga-tiga pertuduhan apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif.
Mengikut fakta kes, mangsa yang berkerja di sebuah klinik dalam perjalanan pulang ke rumah apabila kereta yang dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh kereta yang dinaiki kedua-dua tertuduh pada hari kejadian.
Mangsa yang diarah keluar untuk melihat kesan pelanggaran itu telah ditarik ke dalam kereta sambil tertuduh remaja meletakkan sebilah parang di leher sebelum kedua-dua tangan mangsa diikat dengan tali dan mulut disumbat dengan baju T.
Jururawat muda itu kemudiannya dirogol oleh Civajanam yang bertindak memandu kereta ke tempat sunyi diikuti oleh remaja berkenaan sebelum kedua-duanya merompak rantai emas dan jam tangannya.
Selain tidak melepaskan mangsa, kedua-dua tertuduh turut membuat panggilan ke telefon bimbit bapa mangsa dan mengarahkan mengikut arahan sekiranya ingin mangsa selamat.
Mangsa kemudiannya ditinggalkan di kawasan perumahan Jinjang dekat sini dan telah diselamatkan oleh anggota Balai Polis Jinjang berdasarkan maklumat orang ramai pada pukul 4.00 pagi, 18 Julai 2003.
Selain koyakan baru pada alat sulit, hasil pemeriksaan juga mendapati kesan darah dan kecederaan pada muka, badan dan pinggang mangsa akibat kejadian tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala Civajanam diwakili peguam R. Alagendra dan remaja berkenaan diwakili Imran Hadzalie Abdul Hamid.
Related posts:
