Pelajar Saman Kolej RM5 juta Kerana Dirogol

KOTA BHARU 7 April 2010- Seorang pelajar berusia 24 tahun yang menjadi mangsa rogol menyaman sebuah kolej kejururawatan swasta menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan cuai dalam menyediakan aspek keselamatan di asrama kolej tersebut.

Dalam saman difailkan peguamnya, Mohd Zubairi Salleh, pelajar berusia 24 tahun itu menamakan pemilik kolej berkenaan, Masterskill (M) Sdn Bhd, sebagai defendan.

Pelajar tahun pertama Diploma Kejururawatan itu mendakwa akibat kecuaian tersebut, dia telah dirogol oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk bilik asramanya pada 8.15 pagi, 9 Februari tahun lalu.

Writ saman difailkan melalui firma guaman, Rafizi Zubairi & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Wanita tersebut selaku plaintif menamakan kolej kejururawatan yang mempunyai ibu pejabat di Selangor itu sebagai defendan.

Dia diwakili dua peguam Mohd. Rafizi Abdullah dan Mohd. Zubairi Salleh. Turut hadir di mahkamah hari ini ialah kedua ibu bapanya.

Mangsa menuntut defendan membayar ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta selain ganti rugi kecederaan perasaan, trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta.

Turut dituntut ialah ganti rugi am, faedah ke atas penghakiman pada kadar lapan peratus setahun, kos dan lain-lain relif.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menyatakan, dia merupakan penghuni berdaftar di asrama yang disediakan oleh defendan.

Sebelum kejadian itu berlaku, dakwa plaintif, dia dan lima rakan sebiliknya didatangi seorang lelaki yang bertanyakan mengenai seorang perempuan dan apabila gagal menemuinya, lelaki itu keluar dari bilik tersebut.

Plaintif mendakwa, dia kemudian masuk ke bilik air untuk mandi dan secara tiba-tiba lelaki yang sama masuk lalu merogolnya dan tidak mampu melawan kerana lelaki itu bersenjatakan pisau.

Akibat kejadian tersebut, dia mengalami trauma dan sehingga kini masih dalam pengawasan pihak doktor serta mengalami tekanan perasaan sehingga terpaksa menangguhkan pengajian di kolej tersebut.


  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Rogol Pelajar 13 Tahun Di Dalam Bas Sekolah
  2. Guru Disyaki Rogol Pelajar Berusia 16 Tahun
  3. Remaja Perempuan Dirogol 14 lelaki
  4. Dirogol oleh Bapa Kandung Selama 6 tahun
  5. Sogokan Seks Untuk Projek Perumahan

About admin