Bomoh Rogol Anak Tiri Depan Ibu

Bomoh Rogol Anak Tiri Depan Ibu

IPOH 19 Feb 2010 Laporan Utusan – Atas alasan ingin menurunkan ilmu yang diamalkannya, seorang bomoh didakwa telah merogol anak tirinya yang berusia 24 tahun.

Lebih menjijikkan, perbuatan sumbang mahram itu dipertontonkan di depan ibu mangsa.

Tidak tahan dengan perbuatan tersebut dan ugutan tertuduh untuk membunuh ibunya, mangsa membuat laporan polis pada 13 Februari lalu menyebabkan bapa tirinya hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.

Warga emas berusia 70 tahun itu didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram ke atas anak tirinya itu pada pukul 1 pagi 2 Februari lalu di rumahnya di Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang, Batu Gajah di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berbadan kurus bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Hayati Haji Mat selepas pertuduhan dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izalina Rajaai yang mengendalikan pendakwaan pada mulanya tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh mungkin mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, katanya, jika mahkamah cenderung untuk berbuat demikian, beliau memohon tertuduh dikenakan jaminan RM15,000.

Tertuduh yang memakai baju biru dan berseluar panjang coklat memohon jumlah tersebut diringankan atas alasan faktor usia dan tidak sihat.

Noor Hayati membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 berserta seorang penjamin dan mengarahkan lelaki itu tinggal di rumah berasingan serta dilarang mengganggu mangsa.

Beliau juga menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.


  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Rogol Gadis Bawah Umur
  2. Rompak dan Rogol- 14 tahun penjara dan 7 sebatan
  3. Majikan Dera, Rogol Pembantu Rumah Diburu
  4. Rogol dan Liwat- Kumpulan ‘Sawit United’ Tumpas
  5. Guru Didakwa Meliwat dan Lakukan Seks Oral