Pemandu Lori Rogol 2 anak Dipenjara 40 Tahun

MUAR 5 Julai 2010- “Saya rasa hukuman ini wajar dikenakan tetapi ia adalah hukuman di dunia sahaja dan saya berharap ia memberi pengajaran kepada tertuduh dan pada masa yang sama menjadi ingatan kepada orang lain.”

Demikian tegas hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan sebatan 34 kali terhadap seorang pemandu lori yang menjadikan dua orang anaknya sebagai tempat melampiaskan nafsu serakahnya.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki berusia 39 tahun itu mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol dan dua tuduhan melakukan seks oral terhadap dua anaknya pada awal tahun ini.

Tertuduh mengaku merogol dan melakukan seks oral terhadap anaknya berusia 14 tahun di rumah mereka di Sungai Mati, Ledang, dekat sini kira-kira pukul 7 malam, 3 Januari lalu.

Dia turut mengaku atas tuduhan mengulangi kedua-dua perbuatan itu terhadap seorang lagi anaknya yang berusia 12 tahun di sebuah pondok di tepi Jalan Pulau Penarik, Sungai Mati kira-kira pukul 7 malam, 7 Februari lalu.

Dua pertuduhan rogol itu dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan manakala kesalahan melakukan seks oral dikemukakan mengikut Seksyen 377(c) kanun yang sama.

Hakim tersebut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 15 kali bagi setiap kesalahan merogol dan penjara 15 tahun dan sebatan dua kali atas setiap kesalahan melakukan seks oral.

Hukuman kedua-dua kesalahan tertuduh bagi setiap mangsa berjalan serentak tetapi hukuman membabitkan mangsa berusia 12 tahun diperintah dilaksanakan selepas selesai hukuman bagi kesalahan melibatkan kakaknya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana dia sudah insaf dan bertaubat dengan kesalahannya serta mahu berubah menjadi insan yang soleh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran yang mengendalikan pendakwaan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana melibatkan kesalahan yang cukup serius.

Katanya, sebagai seorang ayah, tertuduh sepatutnya membimbing dan melindungi anak kandungnya, sebaliknya dia melakukan perbuatan yang menimbulkan rasa trauma terhadap kedua-dua anaknya itu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian rogol terhadap remaja berusia 14 tahun itu mula diketahui ibu mangsa selepas dimaklumkan guru kaunseling sekolah anaknya yang mendapati mangsa kelihatan muram dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas.

Pendedahan itu turut membongkar kejadian sama yang berlaku terhadap adik mangsa yang berusia 12 tahun pada 7 Februari lalu menyebabkan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Mati, dua hari kemudiannya.

Selepas laporan polis tersebut dibuat, tertuduh menyerah diri kepada pihak polis pada keesokkan harinya.


  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Culik, Rogol, Rompak Jururawat Dipenjara 28 Tahun
  2. Bomoh Rogol Anak Tiri Depan Ibu
  3. Peniaga bebas hukuman rogol anak
  4. Rogol Pelajar 13 Tahun Di Dalam Bas Sekolah
  5. Rompak dan Rogol- 14 tahun penjara dan 7 sebatan

About admin