# Adakah berbahaya jika tidak melakukan cucian selepas keguguran?
# Saya mengalami masalah obesiti, adakah itu punca keguguran?
# Adakah boleh menggunakan penyembur serangga di dalam rumah ketika hamil?
CUCIAN selepas keguguran hanya perlu jika masih ada sebahagian tisu kehamilan yang tertinggal dalam rahim.
Jika tisu kandungan sudah habis keluar, cucian keguguran boleh menyebabkan komplikasi pula. Pemeriksaan doktor penting untuk memastikan sama ada seseorang itu perlu menjalani cucian (tisu kandungan masih ada) atau sebaliknya.
Obesiti pula bukan saja mengurangkan peluang seseorang untuk hamil, tetapi juga lebih berisiko mengalami keguguran. Masalah ini berlaku bukan saja secara sendirinya, ia juga berlaku apabila seseorang menjalani rawatan walaupun secara IVF. Eloklah anda menurunkan berat badan menjadi ideal dengan cara mengubah suai komposisi diet dan amalan senaman. Buat permulaan, tidak perlu meletak sasaran yang terlalu tinggi, kajian sudah pun menunjukkan kejayaan kehamilan apabila seseorang mengurangkan berat badan lima hingga 10 peratus.
Penyembur nyamuk lazimnya dibuat dalam dos yang selamat untuk manusia, sama ada bayi atau wanita hamil.
Ia juga direka bagi tujuan keselamatan iaitu apabila dipicit, semburan yang keluar adalah bertentangan dan menjauhi muka serta mata kita.
Namun ini tidak bermakna anda semestinya boleh terus menyembur banyak dengan kehadiran ramai. Seeloknya apabila semburan dibuat, elakkan daripada menyedut terus semburan terbabit, setelah itu bilik berkenaan ditutup dan ditinggalkan selama beberapa minit.
Dr. Adilah Ahmat
Related posts:

