Rogol dan Liwat- Kumpulan ‘Sawit United’ Tumpas

Penjenayah samun, rogol dan liwat yang dikenali sebagai kumpulan ‘Sawit United’ yang cuba menyerang polis dengan senjata tajam di ladang kelapa sawit Serting Hilir, Bandar Sri Jempol, berakhir tragedi apabila mereka terbunuh selepas ditembak malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, tiga lelaki menunggang tiga motosikal terserempak dengan sepasukan polis berhampiran tangki air ladang kelapa sawit itu.

Mereka yang berusia 20-an hingga 30-an turun daripada motosikal lalu menyerang polis dengan senjata berbahaya seperti pisau dan sabit, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata lapan das tembakan dilepaskan polis membunuh tiga lelaki itu yang tiada dokumen pengenalan diri.

Katanya, polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan yang mendapat maklumat mengenai kehadiran suspek di lokasi berkenaan sejak beberapa hari lalu bertindak melakukan rondaan.

“Operasi membabitkan kira-kira 20 anggota dan pegawai dan polis percaya kumpulan tiga lelaki ini terbabit dalam 13 kes jenayah di negeri ini sejak tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis merampas sebilah pisau, pemutar skru dan alat pemotong. Tiga butir peluru jenis 9 mm turut ditemui berhampiran mayat seorang daripada suspek.

Menurutnya, modus operandi kumpulan penjenayah ini adalah menceroboh rumah mangsa sebelum mengikat dan menutup mulut menggunakan pita pelekat lalu melakukan samun.

“Kumpulan penjenayah itu dipercayai turut terbabit dalam beberapa kes jenayah, termasuk samun di Johor, Melaka, dan Pahang, selain satu kes rogol dan liwat di Johor, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya ada beberapa lagi ahli kumpulan penjenayah itu yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dilakukan.

Katanya, kumpulan penjenayah ini dipercayai aktif sejak kira-kira setahun lalu dan menjadikan kawasan ladang kelapa sawit sebagai tempat pertemuan.

“Polis percaya, ketika kejadian, mereka merancang melakukan jenayah. Polis juga mendapati satu daripada motosikal digunakan suspek adalah motosikal curi manakala dua lagi dalam siasatan.

“Kami juga menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti ketiga-tiga penjenayah kerana tiada dokumen perjalanan diri ditemui bersama mereka,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai saki baki kumpulan suspek yang masih diburu boleh menghubungi IPK Negeri Sembilan di talian 06-7619999 atau balai polis berhampiran.

asnawi@hmetro.com.my
2010/03/07

  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Perbicaraan Kes Liwat Anwar
  2. Majikan Dera, Rogol Pembantu Rumah Diburu
  3. Rompak dan Rogol- 14 tahun penjara dan 7 sebatan
  4. Rogol Gadis Bawah Umur
  5. 10 Wanita Ditipu Untuk Lakukan Seks

About admin