Barah payudara dikesan pada lebih 4,000 wanita di negara ini setiap tahun. 30 peratus daripadanya berada pada tahap kronik.
Barah payudara dilaporkan ‘menyerang’ semua kaum, tetapi paling ramai penghidap adalah kaum Cina diikuti Melayu dan India.
Menurut Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya (K) Fuad, banyak faktor risiko yang menyumbang kepada barah itu antaranya genetik, sejarah barah payu dara dalam keluarga, umur mula haid sebelum 12 tahun, putus haid selepas 50 tahun, tidak pernah mengandung atau melahirkan anak pada usia lebih 35 tahun.
Faktor risiko lain, tambah beliau, adalah pemakanan dan gaya hidup yang dilalui.
Sementara itu, beliau berkata, barah payu dara adalah antara barah yang mempunyai kaedah bagi mengesannya lebih awal.
Dr. Fuad Ismail berkata, jumlah itu menunjukkan kesedaran kaum wanita untuk membuat pemeriksaan kesihatan payudara adalah kurang.
“Ada pesakit yang dikesan menghidapi barah ini pada peringkat awal, tetapi tidak mahu menjalani pembedahan disebabkan beberapa faktor termasuk takutkan rawatan susulan yang mana ia penting untuk membunuh sel barah.
“Sikap ini menyebabkan barah mereka merebak ke tahap lebih kronik iaitu pada peringkat tiga dan empat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena kempen Minggu Kesedaran Kanser Payudara bertemakan Hargailah Dirimu selama empat hari yang berakhir hari ini di PPUKM di sini.
Turut hadir pada kempen anjuran PPUKM dan Majlis Kanser Nasional (Makna) itu ialah Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah PPUKM, Profesor Datuk Dr. Lokman Saim serta Presiden Makna, Datuk Mohd. Farid Ariffin.
Fuad berkata, ada juga beberapa kes yang mana pesakit mengambil alternatif sendiri dengan mengambil makanan tambahan kesihatan yang mereka anggap mampu menyembuhkan barah tersebut.
Bagaimanapun, katanya, mereka sebenarnya tidak menyedari barah itu sebenarnya perlu dibedah dan dirawat.
“Saya ingin menegaskan makanan tambahan patut diambil selepas sel barah hilang,” katanya.
Justeru, beliau menasihati pesakit agar tidak terikut-ikut promosi pihak tertentu mengenai makanan tambahan tersebut.
Laporan Utusan 26 Okt 2009
Related posts: