PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) — Mahkamah Rayuan di sini, Isnin membenarkan rayuan terakhir seorang bekas pekerja kilang untuk mengenepikan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan atas kesalahan merogol gadis bawah umur, enam tahun lalu.
Hukuman terhadap Muhamad Khairil Anuar Osman, 26, itu sebaliknya digantikan oleh Mahkamah Rayuan dengan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan, yang berkuatkuasa hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim iaitu Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Heliliah Mohd Yusof dan Datuk Wira Abu Samah Nordin.
Pada 9 Julai 2003, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Muhamad Khairil dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM5,000 selepas dia mengaku bersalah merogol remaja perempuan berusia 15 tahun di bilik asrama pekerja di Sri Gombak, Gombak, Selangor di antara 6 April dan 11 April 2003.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebat.
Ketika di Mahkamah Sesyen, fakta kes menyatakan, tertuduh mengenali gadis tersebut di sebuah pusat snuker dan mempelawanya ke asrama pekerja setelah mangsa mengadu berselisih faham dengan keluarga dan telah lari keluar dari rumah.
Tertuduh mendakwa dia tidak menyangka gadis tersebut berusia 15 tahun kerana mangsa tidak mempunyai kad pengenalan bagi membolehkannya memastikan umur gadis itu.
Menurut fakta lagi, tertuduh membenarkan gadis itu bermalam selama lima hari dan persetubuhan berlaku dalam tempoh tersebut.
Dalam keputusan Mahkamah Sesyen itu, Hakim Suraya Othman berpendapat tiada paksaan, tiada kekerasan dan tiada kecederaan dilakukan oleh tertuduh, yang ketika itu berusia 20 tahun, terhadap budak perempuan itu dan persetubuhan berlaku atas kerelaan masing-masing.
Timbalan Pendakwa Raya kemudian merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan pada 14 Julai 2005, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta lima sebatan ke atas perayu.
Muhamad Khairil, diwakili peguam Jayananda Rao dalam rayuannya hari ini menyatakan persetubuhan itu berlaku atas kerelaan mangsa kerana tiada laporan perubatan yang menyokong berlakunya paksaan atau keganasan fizikal terhadapnya.
Related posts: