Jamal Abdillah Cerai Isteri Fatimatuzahra Samad

SHAH ALAM 3 Julai 2009 (Bernama) — Penyanyi terkenal Jamal Abdillah dan isteri Fatimatuzahra Samad hari ini disahkan bercerai talak satu selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini mensabitkan lafaz talak yang dilakukan oleh penyanyi itu pada 15 Mei 2007.

Hakim Syarie, Drs. Atras Mohamed Zin memutuskan kesahihan lafaz perceraian itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 selepas mahkamah menerima sumpah nafi yang dibuat oleh Jamal.

Jamal, 50, mengangkat sumpah nafi di depan hakim bagi mengesahkan lafaz talak yang diucapkannya kepada Fatimatuhzahra, semasa beliau sedang memandu kereta itu, berlaku pada pukul 10 pagi dan bukan 8 malam seperti didakwa isterinya.

Fatimatuzahra, 25, memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai pada 30 April lepas. Pasangan itu bernikah pada 3 Jan 2006 di Pejabat Agama Islam Songkhla, Thailand dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia dua tahun.

Jamal hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam manakala Fatimatuzahra diwakili oleh Hairunnajmi Najmuddin.

– BERNAMA

  • Share/Bookmark

No related posts.

About admin