PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) — Mahkamah Rayuan pada Khamis menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya perbicaraan kes liwatnya dihantar semula ke Mahkamah Sesyen daripada Mahkamah Tinggi.
Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah memutuskan tiada anggota Eksekutif, atau malahan Perdana Menteri boleh campur tangan atau membelenggu kuasa bebas pendakwa raya daripada segi pendakwaan.
Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, yang mengetuai panel tiga hakim dalam pendengaran rayuan itu berkata Perdana Menteri bukan pihak berkuasa kompeten berhubung perkara berkaitan pendakwaan jenayah di negara ini.
“Kuasa ini sepertimana ditetapkan dalam Perkara 145(3) & (3A) Perlembagaan Persekutuan adalah hanya terletak pada pendakwa raya. Semua pendakwaan adalah atas namanya yang mewakili kepentingan negara atau awam,” kata Hakim Abdull Hamid.
Beliau berkata pendakwa raya, yang juga merupakan Peguam Negara, daripada segi pentadbiran adalah bertanggungjawab kepada Perdana Menteri tetapi pastinya bukan dalam bidang pendakwaan di mana Perlembagaan Persekutuan dan juga awam mahukan beliau bebas daripada sebarang campur tangan atau halangan luaran.
Beliau berkata sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pendakwa raya adalah sah mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah (KAJ) kerana beliau hanya menjalankan tugas pentadbiran apabila beliau menandatanganinya.
Selepas keputusan itu disampaikan, Anwar yang diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata: “Saya meluat dengan keputusan ini, ia mempermainkan badan kehakiman kita”.
Anwar, 62, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac yang mengubah keputusan Mahkamah Sesyen untuk mengekalkan perbicaraan kes liwatnya di Mahkamah Sesyen.
Beliau dituduh meliwat bekas pembantunya yang berumur 23 tahun, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, S. N.Nair memberitahu pemberita pasukan pembelaan menimbangkan untuk memfailkan semakan terhadap keputusan Khamis.
Hakim Abdull Hamid berkata jaminan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Abdul Gani tidak akan terlibat secara peribadi dalam kes itu tidak bermaksud pendakwa raya itu dihalang sepenuhnya daripada menjalankan tugasnya daripada segi pendakwaan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, dalam keputusan kerangka 17 muka surat, berkata jaminan Abdullah itu bermaksud pendakwa raya (Abdul Gani) tidak lagi dilihat mewakili dalam prosiding liwat Anwar.
“Ia tidak boleh dikatakan sebagai bermaksud sehingga ke tahap yang bekas Perdana Menteri berhasrat menghalang pendakwa raya daripada menjalankan tugas rasminya seperti menurunkan tandatangan pada sijil pemindahan,” katanya.
Katanya Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila memutuskan sijil pemindahan itu tidak sah kerana semasa ia dikemukakan kepada mahkamah, mahkamah rendah itu tidak mempunyai bidang kuasa atau budi bicara untuk menentukan kesahihannya tetapi membuat pemindahan itu seperti diminta.
Katanya Hakim Mahkamah Sesyen tidak terbelenggu dengan kuasa seperti itu dan bahawa beliau telah bertindak di luar bidang kuasanya.
“Apabila berdepan dengan sijil seumpama itu, mahkamah rendah tiada pilihan kecuali mematuhinya. Ini adalah syarat mandatori di bawah Seksyen 418A KAJ,” katanya.
Hakim Abdull Hamid juga berkata disebalik dakwaan akan wujud keadaan berat sebelah dan konflik kepentingan di pihak Abdul Gani, beliau merupakan satu-satunya pegawai yang diberikan kuasa spesifik mengikut undang-undang untuk menandatangani sijil pemindahan itu mengikut Seksyen 418A KAJ.
“Tindakannya itu tidak boleh dipertikaikan dengan alasan berlakunya berat sebelah atau konflik kepentingan,” katanya.
Hakim Abdull Hamid juga berkata mengikut seksyen itu, tiada sesiapa boleh mempersoalkan keputusan Abdul Gani apabila beliau mengeluarkan sijil pemindahan dan keputusannya itu adalah muktamad dan bahawa mahkamah rendah perlu memindahkan kes sebaik menerima sijil itu.
“Ia memberikan kuasa tidak terhalang dan tidak terkawal kepada beliau (Abdul Gani) daripada aspek yang amat luas berhubung keperluan ini”, katanya.
Hakim Abdull Hamid juga berkata kuasa mandatori itu turut disahkan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Peguam Negara memiliki bidang kuasa untuk memulakan prosiding mahkamah dalam mana-mana forum yang dipilihnya tanpa perlu memberikan alasan bagi tindakannya itu.
Beliau berkata selepas menimbangkan semua faktor, mahkamah mendapati forum yang betul untuk mengendalikan kes liwat Anwar ialah Mahkamah Tinggi kerana tiada bukti menunjukkan Anwar tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di situ.
Sebelum mengakhiri penghakimannya, Hakim Abdull Hamid menegaskan bahawa seperti biasa, mana-mana keputusan yang dibuat oleh mahkamah itu akan menarik kritikan, komen dan pengkritik.
Semasa Hakim Abdull Hamid separuh jalan membacakan keputusan itu, Anwar dilihat tidak berpuas hati dan didengar menggumam “Tidak! Tidak!”.
– BERNAMA
Related posts: