Perbicaraan Kes Liwat Anwar

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) — Mahkamah Rayuan menetapkan Khamjis untuk membuat keputusan dalam rayuan mengenai forum yang betul untuk mendengar perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, berkata beliau akan memberikan keputusan secara lisan berhubung rayuan Anwar untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menetapkan bahawa kes liwatnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Anwar, yang diiringi isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada prosiding Rabu, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac yang memansuhkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk mengekalkan pendengaran perbicaraan kes liwat itu di Mahkamah Sesyen.

Mengikut prosedur, oleh kerana kes itu bermula di mahkamah rendah, rayuan terakhir ialah di Mahkamah Rayuan.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Kes itu ditetapkan bagi perbicaraan pada 8 Julai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada permulaan prosiding, peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah berhujah jaminan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada media pada sidang akhbar bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terbabit secara peribadi dalam kes itu telah mewujudkan jangkaan daripada segi undang-undang kepada Anwar dan awam.

Sulaiman berkata malahan Abdullah turut memberikan jaminan kerajaan itu pada pertemuan dengan Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah, di Parlimen bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.

Beliau berkata persepsi awam adalah amat penting dan dengan itu Abdul Gani sepatutnya menarik diri daripada kes itu dan sepatutnya tidak menandatangani sijil pemindahan.

Mengambil contoh kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin lwn Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi, Sulaiman berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mohammad Ariff Md Yusof telah menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan persepsi awam kerana pembabitannya dalam PAS sebelum beliau dilantik pesuruhjaya kehakiman September lepas.

Sulaiman berkata wujud bahaya akan berlaku berat sebelah di pihak Abdul Gani dalam kes itu memandangkan fakta yang didedahkan baru-baru ini mengenai peranan Abdul Gani sebagai pendakwa raya dalam cubaan menutup insiden mata lebam pada 1998.

“Lagipun, Abdul Gani selaku pendakwa raya dalam kes sebelum ini (kes mata lebam) terhadap Anwar, telah memainkan peranan sebagai penyiasat dan pendakwa. Sebagai penyiasat, beliau bertindak mendapatkan keterangan palsu dengan menggunakan proses keadilan jenayah daripada peguam bela Anwar. Sebagai pendakwa raya, beliau hadir di mahkamah sebagai sebahagian pasukan pihak pendakwaan,” katanya.

Sulaiman berkata oleh yang demikian, Abdul Gani sepatutnya secara automatik lucut kelayakan atas alasan wujud konflik kepentingan.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan berhujah jaminan Abdullah bahawa Abdul Gani tidak akan mengambil bahagian secara peribadi dalam kes itu bermaksud Abdul Gani tidak akan terlibat secara langsung dalam prosiding kes liwat Anwar itu dalam pasukan pendakwaan.

Katanya semasa Abdullah memberikan jaminan itu, jelas dalam fikirannya tidak merujuk kepada Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah (KAJ) yang sekysen itu menetapkan, mahkamah rendah perlu memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pemindahan dikemukakan kepada mahkamah.

Mohamed Yusof berkata Abdul Gani sebagai Peguam Negara, hanya bertanggungjawab kepada Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan dan bukannya ketua eksekutif (Perdana Menteri).

Beliau berkata malahan sekiranya kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, ia tidak akan mengenepikan hak Anwar bagi perbicaraan yang adil kerana apa yang berbeza hanya tempatnya.

Mohamed Yusof berkata Abdul Gani hanya menjalankan tugas pentadbiran dan bukannya tugas kehakiman atau kuasi-kehakiman apabila beliau menandatangani sijil pemindahan itu mengikut Seksyen 418A KAJ.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan Jumaat ini bagi pendengaran permohonan Anwar supaya mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan memberikan semua dokumen berkaitan kes liwatnya itu kepadanya.

Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini tetapi semalam Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan bagi perkara itu di Mahkamah Tinggi, sementara menunggu keputusan (Mahkamah Rayuan) berhubung perkara itu.

Antara dokumen yang diminta termasuk rakaman asal CCTV yang diambil di beberapa lokasi di tempat yang didakwa berlaku kejadian itu di Desa Damansara Condominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, sampel DNA, kenyataan para saksi termasuk kenyataan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan polis.

Dalam prosiding hari ini, seorang daripada peguam bela Anwar, S.N.Nair meminta Hakim menetapkan tarikh sebutan bagi membolehkan peguam bela pergi ke mahkamah untuk mencari tarikh yang mereka bebas daripada kes lain untuk ditetapkan bagi pendengaran permohonan itu.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin meminta mahkamah meneruskan prosiding itu esok kerana menurutnya terdapat petanda yang Mahkamah Rayuan akan memberikan keputusannya hari ini.

Mohamad Zabidin, bagaimanapun, menetapkan Jumaat bagi pendengaran dan meminta Nair memaklumkan kepada peguam utama Anwar, Sulaiman supaya memebri keutamaan kepada permohonan itu.

– BERNAMA

  • Share/Bookmark

No related posts.

About admin