Gambir Sarawak yang telah dikenali sejak berabad lalu, mempunyai seribu keistimewaan yang sukar didapati pada herba lain dan tidak hairanlah jika ia digelar raja sekalian ubat sama ada untuk mengubati penyakit zahir mahupun batin secara tradisional.
Gambir ataupun nama saintifiknya, uncaria gambier ialah sejenis getah kayu yang digolongkan dalam kumpulan herba, boleh digunakan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.
Tumbuhan berakar dengan bunga kuning dan buah keunguan itu mempunyai ranting muda yang licin manakala daunnya boleh membesar sehingga selebar 6.5 sentimeter dan 13 sentimeter panjang.
Terdapat lebih kurang 34 spesies di seluruh dunia dan ia boleh ditemui di Asia, Afrika dan Amerika Selatan.
Gambir juga dikenali sebagai una de gato, kerangas, pale catechu dan Borneo cat’s claw dan di Malaysia, gambir hanya boleh didapati di Bumi Kenyalang iaitu di dalam hutan tebal kawasan pedalaman di Bahagian Keempat iaitu Long Panai dan Marudi.
Di Kuching, gambir Sarawak boleh didapati di sekitar Lebuh India, Tebingan Sungai Kuching dan Jalan Gambier.
Keistimewaan gambir Sarawak bukan sekadar daripada aspek kesihatan malah ia juga mampu membantu dalam memperbaiki hubungan suami-isteri.
Kandungan tannin dan catechin yang boleh mendatangkan rasa kebas dikatakan faktor ia menjadi pilihan untuk meredakan sakit dan luka.
Gambir Sarawak di sini dijual daripada harga serendah RM5 hingga RM100 malah ada juga yang lebih mahal daripada itu bergantung pada saiz dan kualitinya.
Bagaimanapun, kehidupan sebagai seorang peniaga gambir Sarawak bukanlah senang seperti peniaga-peniaga herba lain.
Utusan Malaysia baru-baru ini berkesempatan menemu bual salah seorang peniaga gambir Sarawak di Lebuh India yang sudah lebih 20 tahun menjalankan perniagaan itu.
Johari Was, 67, yang sudah berniaga gambir lebih daripada 20 tahun berkata, orang ramai selalu menganggap perniagaan gambir adalah salah dan hanya menggalakkan orang ramai ke arah seks.
”Saya akui, antara fungsi gambir Sarawak ini adalah untuk kegunaan seks, namun ia juga boleh digunakan untuk mengubati penyakit-penyakit lain.
”Ini tidak bermakna orang ramai boleh sesuka hati meletakkan penanda aras yang negatif terhadap kami, para peniaga gambir Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Lebih mesra dengan panggilan Abang Johari, beliau agak terkilan dengan pemikiran masyarakat terhadap fungsi dan penggunaan gambir sekarang berbanding dahulu.
”Jikalau dulu, orang gunakan gambir ini untuk merawat luka, sengatan binatang, sakit gigi, kurap dan panau.
”Ada juga yang menggunakan gambir yang telah dilarutkan menjadi ekstrak air untuk mencuci bekas luka selepas bersalin kerana zaman dulu, luka bekas bersalin tidak dijahit dan jika dicuci dengan air biasa akan mendatangkan kesakitan yang amat,” ujarnya.
Menurut Abang Johari, fungsi gambir adalah untuk mendatangkan kebas dan menghilangkan kesakitan pesakit akibat luka, bengkak atau sengatan binatang.
Tambah Abang Johari, bagi melegakan kesakitan pula, caranya sama dan air larutan gambir itu disapu pada luka, sengatan ataupun kurap serta panau.
Rasa kebas pada luka atau sengatan itu boleh mengurangkan rasa sakit dan boleh mengelakkan pesakit daripada menggaru pada tempat yang terkena kurap dan panau.
Bagaimanapun, cara penggunaannya haruslah betul dan tidak melebihi tahap yang disarankan, dibimbangi akan mendatangkan kesan sampingan dan kerengsaan pada kulit.
Abang Johari memberitahu, perniagaan menjual gambir kini tidaklah lumayan seperti lapan tahun dahulu kerana banyak persaingan.
”Dulu saya boleh mendapat untung bersih sehingga RM1,000 sehari. Namun kini, pendapatan RM1,000 hanya diperolehi dalam sebulan,” keluhnya yang turut menjual pelbagai herba lain, batu permata dan barangan antik.
Ditanya bagaimana untuk membezakan gambir asli dengan yang tiruan, katanya, hanya gambir Sarawak yang asli boleh mendatangkan rasa kebas dan jika digigit akan berasa pahit.
”Gambir Sarawak asli jika digigit akan mengeluarkan rasa pahit dan kebas, jadi jangan tertipu dengan helah peniaga yang cuba untuk menjual gambir tiruan kepada pengguna,” katanya.
Mereka yang ingin mendapatkan gambir Sarawak asli daripada Abang Johari, boleh menemuinya di Lebuh India setiap Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu dan Ahad di Pasar Satok, Kuching.
Related posts:

Excellent post! I’ve bookmark this site to return later. cheers!arkadas